11.3.17

Rangkuman 2016

Dah lama tak menulis, rasa macam dah berkarat je skil penulisan yang ada. Idea banyak mencurah, tapi nak mulanya cukup payah. Sebelum berangkat ke Tanah Suci tempoh hari, saya private-kan blog ni dan deactivate FB atas sebab-sebab tertentu. Mungkin mahu mengambil masa untuk bermuhasabah memikirkan kewajaran meneruskan agenda penulisan di kedua-dua medium sosial tersebut. Tup tup dah 6 bulan menyepi. Rasa rugi pula tak berkongsi.

So posting kali ini saya rangkumkan semua sekali apa yang dah terjadi semenjak dua menjak kebelakangan ni. Mudah-mudahan tak hilanglah dari memori.

(Disclaimer: Kata ganti diri 'gua' dah tak digunakan lagi di sini. Nak sopan-sopan je lepas ni. Moga-moga adalah bakal mak mentua yang terpikat dengan kesopanan dan kesusilaan saya ni. Oke!)

Pergi Haji
Alhamdulillah, dah selamat pergi dan selamat kembali ke tanah air. Walaupun tak semua cita-cita yang kesampaian, insyaAllah ada rezeki cuba lagi di masa hadapan. Pergi hari tu berdua saja dengan kakak. Bini buat rayuan nak ikut juga. Rayuan diterima tapi still tak dapat ikut sama sebab rezeki kat tempat lain (nak beranak). So berpakat dengan pak dan mak saudara saja. Duration KT kami (KT27) antara yang terlama. Nak dekat 50 hari juga total berada di Makkah dan Madinah. Kami pilih untuk ke Makkah dahulu atas sebab tertentu. By the way, pasal tips nak buat rayuan, pilih penerbangan, destinasi Makkah atau Madinah dahulu insyaAllah saya akan terangkan kemudian.

Secara ringkasnya, di Makkah kami ditempatkan di maktab 89 di hotel Masaat al Badaei, kawasan Shib Amir. Jarak lebih kurang 950 meter dari Masjidil Haram. Jumlah penghuni bilik pula bergantung kepada saiz bilik. Ada yang 3 orang sebilik sehinggalah yang paling ramai 8 orang. Saya bertuah sebab dapat bilik yang paling ramai, 8 orang. Walaupun tandas cuma satu, alhamdulillah kami semua dapat bersatu. Kami makan, minum, lepak sama-sama. Semuanya riang gembira.

Di Makkah, selain aktiviti tipikal para hujjaj, pada sebelah malam saya dan kawan-kawan sempat berkunjung ke rumah-rumah orang tempatan yang menjamu dan meraikan kedatangan para hujjaj sambil mendengar peringatan dan pesanan dari mereka. Pesanan mereka berkisar tentang persediaan untuk hari haji nanti dan pentingnya usaha dakwah dijalankan.

Satu part yang saya terkilan tapi memberi banyak pengajaran adalah cita-cita nak bersama jemaah jalan kaki yang bergerak dari Makkah ke Mina pada hari Tarwiyah sebelum menuju ke Arafah tak kesampaian. Sehari sebelum hari kejadian (7 Zulhijjah) saya diuji dengan dehidrasi. Nak jadi asbab, pagi tersebut terlebih minum susu lembu sampai perut melugai. Lalu petang tu jadilah gejala keciritan dan kemuntahan sehingga saya lemah longlai. Malam tu dah duduk untuk pembentukan jemaah (13 jemaah berjaya dibentuk hasil gabungan jemaah Malaysia, Indonesia dan orang mukimin Makkah) tapi apakan daya, Allah SWT tak izin juga.

Bila balik hotel terus ke klinik untuk masuk air (IV drip). Tengah malam saya Istikharah minta petunjuk sama ada nak teruskan atau tak niat saya. Saya ada masa sehingga Subuh untuk kembali sihat dan segar jika nak teruskan niat saya. Namun Allah SWT yang Maha Tahu segalanya. Jadi 8 Zulhijjah saya bergerak macam biasa ke Arafah mengikuti rombongan biasa Tabung Haji. Cuba mempositifkan diri dengan kejadian yang menimpa. Alhamdulillah, di Arafah masalah kesihatan tadi hilang begitu saja. So still saya bersyukur walaupun tak dapat sunnah hari Tarwiyah, Allah SWT tak uji kesihatan saya berlarutan hingga hari Arafah. Maka di hari Arafah dapatlah maximize apa yang sepatutnya.

Ada banyak lagi cerita haji yang saya nak share. Termasuklah pengalaman di Madinah, insyaAllah saya ceritakan nanti.

Kelahiran Aisya
Pada waktu Dhuha hari Jumaat, tanggal 26 Ogos 2017 iaitu lebih kurang seminggu berada di Makkah, saya menerima berita dari tanah air bahawa isteri saya selamat melahirkan bayi perempuan yang seksi lahir tanpa pakaian. Ketika itu saya sedang mengikuti mesyuarat mingguan dakwah para mukimin Melayu Makkah di sebuah lokasi di Misfalah, Saya menerima kiriman rakaman video dari adik ipar yang menemani beliau live dari dalam labour room. Maka dapat jugalah menyaksikan situasi kejadian yang berlaku di sana.

Genap hari ketujuh, saya memutuskan untuk menamakan bayi tersebut sebagai Aisya setelah bermesyuarat dan meminta pendapat dari masyaikh yang saya temui di Masjidil Haram. Pada awalnya cadangan nama tersebut mendapat tentangan dari ibu dan isteri saya disebabkan nama Aisya tu nama madu ibu saya dan nama seorang ‘makwe’ lama saya. Uhuh! Namun saya membetulkan kembali kecemburuan tak bertembat mereka dengan menegaskan bahawa saya bukan seorang Syiah. Ha ha! Akhirnya mereka pun redha jelah dengan takdir yang telah tersurat.

Mercury Man
Masih ingat bagaimana Peter Parker boleh jadi Spiderman? Semuanya hasil daripada gigitan seekor labah-labah radioaktif semasa beliau melawat pameran sains.

Begitulah yang terjadi kepada saya. Setelah pulang ke Malaysia saya menjalani kehidupan seperti biasa sehinggalah apabila pulang ke Kerteh, saya gunakan cuti yang masih berbaki untuk melakukan spring cleaning dan housekeeping secara bersepadu.

Disebabkan rumah dah ditinggalkan agak lama, dan ada pula tetamu baru iaitu bayi kecil, saya perlu sediakan persekitaran yang bersih dan selamat buat si kecil itu. Seminggu juga saya buat kerja pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan rumah.

Sehinggalah pada satu malam ketika saya sedang mengemas rak buku di ruang tamu, saya terjatuhkan sebatang termometer merkuri di atas lantai lalu pecah. To cut short, saya jadi famous seketika apabila mendapat perhatian wartawan, Jabatan Kesihatan, jiran-jiran dan rakan-taulan.

Akibat reaksi dan tindak balas dari tumpahan merkuri tersebut, saya kini dikurniakan kuasa ajaib yang boleh saya gunakan untuk membantu orang ramai. Bak kata pepatah dalam cerita Spiderman, “with great power there must also come great responsibility". Kini saya dalam proses menyesuaikan diri dengan kuasa berkenaan.

Oke, kita buang ke laut dahulu khayalan tingkat tinggi tersebut.

Identiti disembunyikan untuk menjaga kerahsiaan Mercury Man.


HG PLT
Benarlah janji Nabi SAW bahawa haji dan umrah menghilangkan kefakiran sebagaimana api menghilangkan karat. Rezeki anak baru juga, HG PLT yang saya tubuhkan bersama isteri tengah tahun lepas mengorak langkah mengembangkan empayar.

Hujung tahun lepas kami mendapat kontrak dari sebuah syarikat manpower yang berpangkalan di UK melalui cawangannya di KL untuk menguruskan perihal logistik expatriate-nya dari Filipina dan India yang sedang melaksanakan projek di sini. Tugas kami adalah menjaga kebajikan mereka dengan menyediakan tempat tinggal yang selesa, makanan dan pengangkutan yang terbaik kepada mereka sepanjang tempoh berkenaan iaitu kira-kira 11 bulan.

Dari sini kami belajar banyak perkara bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan professional kami dan perkara ini telah membuka minda kami untuk terus mara kehadapan membina empayar. Ceewah! Penuh wawasan gitu.

Alhamdulillah, setelah kejayaan membeli dan mengusahakan rumah pertama sebagai modal perniagaan, kini kami dalam proses untuk mendapatkan kunci rumah yang kedua. Bila dikira-kira balik, semua ini dicapai dalam tempoh tak sampai setahun. Bagi novice investor macam saya, pencapaian ini tidaklah seberapa mana jika nak dibandingkan dengan para otai di luar sana. Apapun kami bersyukur Allah SWT masih bagi kecukupan rezeki, buka jalan dan bagi peluang kepada kami sekeluarga walaupun hanya ‘bergantung’ kepada satu slip gaji sahaja.

OCPD
Kesan sampingan sebagai seorang adiwira Mercury Man dan mempunyai tahap professional yang tinggi sebenarnya telah menyerlahkan simptom OCPD yang ada pada diri saya. OCPD atau nama panjangnya obsessive compulsive personality disorder merupakan gangguan personaliti iaitu menjadi taksub kepada objektif, aturan dan prosedur, seorang yang tertib dan perfectionist. OCPD sebenarnya berbeza dengan OCD yang kebanyakan orang tersalah anggap antara keduanya.

Kali pertama saya dikesan mempunyai OCPD ini adalah beberapa tahun lepas oleh kawan doktor saya di blog ini juga. Namun saya tak adalah buat apa-apa tindakan. Cuma pada kali ini setelah mendapatkan nasihat dari rakan-rakan yang boleh dipercayai, saya pun bertindak untuk bersemuka dengan kaunselor di hospital untuk menguruskan kelebihan saya ini. So kini setiap bulan saya akan ke hospital untuk menjalani sesi terapi kognitif bersama kaunselor.

By the way, tak adalah malu pun ada OCPD dan kena menghadap kaunselor setiap bulan. Malah saya mengganggap OCPD ni sebagai satu kelebihan dan sesi terapi ini sebagai satu jalan untuk saya membuka dimensi baru dalam kehidupan saya dengan melihat diri dari sudut berbeza seterusnya menjadikan saya insan yang lebih matang dan berwawasan tinggi dalam menuju Wawasan 2020. Ha ha!

Pengajian Alim
Musim haji yang lalu, saya merasakan kerugian yang sangat dari satu sudut iaitu penguasaan bahasa Arab. Saya bayangkan jika saya dapat menguasai bahasa Arab, saya dapat memanfaatkan sebanyak mungkin kelebihan berada di sana. Orang-orang Arab dan bahasanya merupakan sumber primer dalam ilmu agama dan kenabian. Bila tak dapat mengusainya, saya akui banyak terlepas peluang untuk bermuzakarah dengan orang-orang hebat di sana. Contohnya pilihan pengajian di Masjid Nabawi menjadi limited kepada majlis Dr. Firanda saja. Ha ha!

Paling jealous dan buat saya terfikir kelebihan orang Alim ni (merujuk kepada sebahagian para ustaz yang pergi haji sekali) bila mereka dimuliakan Allah SWT dengan diberi peluang dibawa berjalan oleh orang-orang Alim tempatan yang mahir dalam sirah untuk melawat atsar kesan peninggalan sejarah di sekitar Madinah sambil diberi penerangan dengan selengkapnya.

Sebenarnya saya dapat juga peluang untuk melawat atsar-atsar tersebut apabila dibawa oleh seorang pelajar Malaysia di Madinah, tapi ternyata pengalaman yang didapati memang jauh berbeza. Susah sebenarnya nak terjemahkan kepada anda semua apa yang sebenarnya saya rasa.

Lalu saya berazam dan berdoa untuk mendalami lagi bahasa Arab dan ilmu agama apabila pulang ke Malaysia nanti. Nak jadi rezeki bilamana ada sebuah madarasah membuka peluang kelas pengajian alim secara separuh masa untuk saya ikuti pengajiannya yang bakal berlangsung selama 5 tahun insyaAllah. Sekarang dah masuk bulan keempat dan mohon didoakan supaya saya dan rakan sekelas tetap istiqamah sehingga tamat pengajian dengan memperolehi sanad. Kemudian dapat sambung lagi ke peringkat Dauratul Hadith. Amin. Cita-cita tinggi sungguh!

So rasanya cukuplah untuk coretan ringkas tapi panjang lebar rangkuman yang berlaku dalam masa 6 bulan kebelakangan ini. Aisya pun sekarang dah genap 6 bulan dan dah start belajar makan. Lain masa insyaAllah saya akan huraikan dengan lebih detail pengalaman-pengalaman yang berlaku di atas.

Aisya dan abangnya.
Doakan kemudahan dan kejayaan untuk saya dan keluarga.

Sekian!

1 comments:

Anonymous said... [Reply]

Dah lama tak menulis, rasa macam dah berkarat je skil penulisan yang ada. Idea banyak mencurah, tapi nak mulanya cukup payah. Sebelum berangkat ke Tanah Suci tempoh hari, saya private-kan blog ni dan deactivate FB atas sebab-sebab tertentu. Mungkin mahu mengambil masa untuk bermuhasabah memikirkan kewajaran meneruskan agenda penulisan di kedua-dua medium sosial tersebut. Tup tup dah 6 bulan menyepi. Rasa rugi pula tak berkongsi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...