11.7.16

Tolong Nu'man Kawan-Kawan!

Aisyah RHA bertanya kepada Nabi SAW: "Ya Rasulullah! Apakah ada jihad bagi seorang wanita?" Baginda menjawab: "Ya, ada jihad bagi mereka, namun tidak ada perang padanya; iaitu haji dan umrah". (Ibnu Majah No. 2901)
Assalamualaikum WBT dan salam Syawal. Rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan ‘taqabbalallahu minna waminkum’ kepada semua para graduan madrasah Ramadhan yang baru saja berakhir. Mudah-mudahan segala amal ketaatan yang dilatih selama sebulan ini dapat berkekalan sekurang-kurangnya untuk tempoh 11 bulan yang akan datang sementara menanti Ramadhan baru yang bakal menjelma, insyaAllah.

Seperti yang kita sedia maklum, selain dikaitkan dengan puasa enam, bulan Syawal juga merupakan salah satu daripada bulan-bulan haji. Rata-rata para bakal haji sudah pun berkira-kira untuk menyelesaikan segala persiapan terakhir sebelum berangkat ke tanah suci. Maka dengan itu anggaplah entri kali ini juga merupakan salah satu persiapan terakhir haji yang sedang disediakan.

Actually entri ini adalah kesinambungan post status saya di FB Nota Siku sebelum ini. Mungkin ramai yang tak clear tentang tawaran yang saya iklankan itu kerana saya tak cakap secara terang dan nyata melainkan jika ada orang yang bertanya kepada saya personally. Memandangkan iklan tersebut masih belum membuahkan hasil yang memberangsangkan, maka ini merupakan ikhtiar terakhir saya insyaAllah. Saya masih lagi positif dan berharap yang terbaik dari Allah SWT itu akan tetap datang juga.

Saya sedar agak susah untuk mendapatkan calon terbaik yang exactly mengikut cita rasa namun tak ada salahnya berharap. Sedangkan Allah SWT ajar para kekasihNya untuk minta yang terbaik. Sulaiman AS pernah meminta kerajaan yang tidak ada tandingan sebelum dan selepas, Allah SWT kabulkan. Kita juga diajar untuk mendambakan syurga Firdaus iaitu syurga yang tertinggi walaupun kita sedar siapa diri kita yang sebenar. Malah, Iblis laknatullah pun pernah membuat permintaan kepada Allah SWT dan permintaannya juga tidak ditolak. Maka saya berharap agar Allah SWT menyampaikan harapan saya ini kepada orang-orang yang sepatutnya dan seterusnya mengetuk pintu hati mereka.




Ini anak saya seorang. Namanya Nu’man. Usia beliau hampir 3 tahun. Dalam masa sebulan dua ini, Nu’man bakal melalui perkara besar dalam hidupnya iaitu:
  1. Nu’man bakal menjadi seorang abang, insyaAllah pada akhir bulan Ogos nanti.
  2. Dalam masa yang sama Nu’man juga bakal berpisah sekali lagi dengan bapanya untuk tempoh yang lama. Kali ini bapanya insyaAllah akan bepergian mengerjakan haji yang mungkin tarikh penerbangannya dijadualkan pada akhir bulan Ogos nanti juga.
Harapnya anda boleh tangkap situasi yang bakal dilalui Nu’man dalam masa kurang dua bulan dari sekarang. Oleh itu Nu’man sangat-sangat memerlukan kakak-kakak atau makcik-makcik yang penyayang di luar sana untuk menemani Nu’man di sepanjang ketiadaan bapanya di sisi nanti. Tsk! Kalau dulu bila Nu’man dilahirkan, ada bapanya seorang yang membantu menguruskan Nu’man dan umminya sepanjang tempoh berpantang. Kali ini bapanya tak dapat bersama di sisi bagi mengharungi detik ini.

Nak meneman Nu’man tak adalah sesukar yang disangka. InsyaAllah, peneman Nu’man akan tinggal bersama Nu’man dan umminya (serta bakal adik Nu’man yang akan dilahirkan) sepanjang tempoh berkenaan. Di bawah ini saya sertakan senarai tugasnya.

Aktiviti Harian

Amalan Malam: Nu’man suka di rumahnya dipenuhi dengan amal ibadah. Barulah rumah jadi tenteram. Nu’man mahu rumahnya hidup dengan amalan malam. Paling kurang dikerjakan solat sunat 2 rakaat beserta witir. Elok juga amalan malam tersebut disudahi dengan bacaan Al Quran walau sekadar semuka sementara menanti Subuh menjelma.

Zikir Pagi & Tilawah: Setelah mengerjakan solat Subuh di awal waktu, Nu’man suka jika zikir pagi menjadi wirid harian. Bacaan Ma’thurat antara pilihan yang terbaik selain zikir-zikir pagi yang lain. Untuk mengelakkan tidur selepas Subuh, Nu’man suka mendengar bacaan ayat suci Al Quran disambung semuka demi semuka di sepanjang hari sehingga 1 juzu’ berjaya dihabiskan setiap hari. Paling tidak 1 hizb atau 1 muka pun tak mengapa. Janji ada alunan bacaan Al Quran setiap hari kerana Nu’man tak mahu rumahnya menjadi sunyi sepi umpama kuburan. Boleh juga diselang-seli dengan amalan surah-surah pilihan seperti Yassin, Waqiah, Mulk, Sajdah, Kahfi dan sebagainya.

Persiapan & Menghantar ke Sekolah: Tugas sampingan pula adalah menyiapkan Nu’man untuk ke sekolah pada setiap pagi. Bila dah siap, Nu’man perlu ke sekolah yang terletak tak berapa jauh dari rumah dan dihantar menggunakan kereta yang ada.

Dhuha: Selesai menghantar Nu’man, bolehlah pulang berehat di rumah sambil memenuhi masa dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Untuk tidak digolongkan sebagai hamba Allah yang lalai, solat Dhuha boleh dikerjakan sekurang-kurangnya 2 rakaat.

Melayan Tetamu: Selain ibadat khusus, ada ibadat umum yang mungkin direzekikan Allah SWT. Antaranya mungkin ada jiran tetangga dan kawan-kawan ummi yang akan datang ziarah. Maklumlah ada newborn. So melayani tetamu pun merupakan salah satu ibadat yang disukai Allah SWT sehingga Allah SWT memuji salah seorang sahabat Nabi SAW di dalam Al Quran kerana kesungguhannya melayani tetamu.

Menyediakan Makanan: Sementara menunggu Nu’man nak balik sekolah, mungkin boleh disediakan sedikit makanan yang simple-pimple untuk mengisi perut di hari berkenaan. Boleh jadi nasi putih lauk sup kosong atau nasi putih dengan ikan bakar atau spaghetti atau apa-apa masakan yang mudah, ringkas dan bersesuaian untuk disediakan yang mana tidaklah memerlukan sangat kepakaran tinggi dalam bidang memasak pun.

Ambil Nu’man Balik Sekolah & Qailulah: Bila dah tengahari, bolehlah jemput Nu’man di sekolah. Biasanya bila dah balik sekolah, Nu’man akan kepenatan dan mengantuk lalu terus tertidur. Boleh berehat berqailulah bersama-sama Nu’man bagi mencari kekuatan untuk menghidupkan amalan di malam hari nanti. Sambil-sambil tu tak dilupa dibantu juga keperluan ummi Nu’man jika ada.

Melayan Nu’man: Bila masing-masing dah terjaga, inilah tugas pentingnya iaitu untuk mengalih perhatian Nu’man dari tertumpu kepada umminya. Kerana umminya perlu rehat yang secukupnya untuk sembuh setelah proses kelahiran. Mungkin petang itu boleh diisi dengan pelbagai program yang bermanfaat untuk Nu’man seperti beriadah sambil zikir-zikir ma’thur petang hari masih terjaga.

Belajar: Pada malam hari pula memandangkan bapa Nu’man dah tak ada, Nu’man dah tak boleh ke masjid lagi. Jadi Nu’man perlu belajar agama di rumah. Nu’man suka belajar solat, mengaji dan membaca. Ruang masa antara Maghrib dan Isya’ tu bolehlah dipenuhi bersama.

Majlis Taklim: Kemudian sebelum masuk tidur, Nu’man suka mendengar bacaan hadith-hadith Nabi SAW dan kisah-kisah para sahabat RHUM. Nu’man suka bila bacaan taklim dihidupkan di rumahnya. Barulah nur keberkatan tu sentiasa meliputi rumahnya berserta para ahlinya. Rumahnya pun jadi seumpama taman-taman syurga.

Begitulah hari-hari seterusnya dilalui dengan penuh bergaya.

Aktiviti Mingguan

Cari Barang Basah: Manakala aktiviti mingguan pula tak ada apa sangat melainkan mencari barang-barang untuk dimasak untuk stok seminggu. Jika rezeki murah, insyaAllah Allah akan hantar segala barang-barang keperluan di depan pintu rumah. Tapi jika rezeki kurang sikit, terpaksalah pergi kutip rezeki-rezeki tersebut di kedai atau pasar raya berhampiran.

Miscellaneous: Selain itu, hanya perlu stand by saja jika ummi Nu’man perlu ke mana-mana seperti ke klinik atau hospital untuk mengambil suntikan vaksin, heh!

Itu sajalah harapan Nu’man. Kalau tak pandai nak urus Nu’man sangat pun tak apa. Boleh belajar slow-slow. Yang penting ada kemahuan, sedikit effort dan sifat tanggungjawab saja. Tak susah mana pun kan?

So akhir kata, Nu’man harap sangat-sangat ada orang yang sudi teman Nu’man dan menghidupkan amalan di rumah Nu’man. Masa dah tak lama tinggal kurang dari dua bulan saja lagi. Mudah-mudahan Allah SWT permudahkan, mengetuk dan membuka pintu hati orang yang sepatutnya. Tolong Nu’man ya!
“Sesiapa yang menyediakan kelengkapan safar untuk orang yang pergi haji dan orang yang keluar ke jalan Allah SWT ataupun mengambil berat tentang keluarganya ataupun menyediakan hidangan berbuka untuk orang yang berpuasa akan mendapat ganjaran yang sama dengan orang yang pergi haji atau keluar ke jalan Allah SWT atau berpuasa dan pahala itu tidak berkurangan sedikitpun.” (Baihaqi)
Bapa Nu’man janji akan berdoa khusus untuk insan yang terpilih tersebut ketika berada di sana insyaAllah. Untuk maklumat lanjut, boleh terus hubungi bapa si Nu'man di 0195221320.

Jazakumullah khair!

comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...