15.1.16

Rumah Korporat Keluarga


Salam sehati sejiwa! Oke, kali ni gua nak kongsi satu model kaedah yang diguna pakai dalam organisasi yang mana dapat diaplikasikan dalam rumah tangga. Makhluk di dalam gambar di atas dinamakan rumah korporat atau nama manjanya corporate house. Sila klik gambar untuk tumbesaran dan melihat dengan lebih jelas apa yang ditulis.

Baik! Sekarang gua akan ceritakan satu-persatu mengenai rumah bertemakan oren tersebut. Secara ringkasnya, rumah korporat digunakan oleh sesebuah organisasi untuk menetapkan matlamat mereka dan menghimpunkan cara dan tindakan bagi mencapai matlamat tersebut. Kalau orang dah biasa dengan rumah korporat ini, dia boleh nampak apa hala tuju syarikat, apa strategi yang digunakan, budaya yang dibawa dan sebagainya.

Maka tanggungjawab seluruh anggota organisasi atau syarikat amat diperlukan untuk menjayakan agenda korporat tersebut. Macam nak bina rumah, semua bahagian perlu dibina satu-persatu dengan sebaik mungkin yang mana hasilnya nanti adalah supaya dapat mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Ada pekerja yang ditugaskan untuk buat bumbung, ada yang kena buat tiang, plaster dinding dan sebagainya. Semuanya akan saling bekerjasama untuk menyiapkan binaan tersebut.

Rumah korporat akan menceritakan secara basic tentang agenda korporat sesebuah organisasi. Dari sini, agenda tersebut akan ditranslasikan dalam bentuk roadmap ataupun nama melayunya, pelan tindakan. Untuk gambar rajah pelan tindakan dan penerangannya gua tak nak cerita lagi di sini. Nanti-nanti gua free gua habaq lain sebab hat ni pun dah agak panjang.

Orait! Kalau kita tengok pada rumah tersebut, terdapat 5 elemen utama yang menjadikannya sebuah rumah sempurna. Elemen yang pertama adalah bumbung atasnya, elemen kedua adalah bumbung bawah atau kedua, elemen ketiga diwakili oleh siling rumah, elemen keempat diterjemahkan dalam bentuk tiang-tiang dan akhir sekali lantai rumah sebagai elemen kelima.

Bumbung Atas - Visi
Visi adalah matlamat jangka panjang yang ingin dicapai oleh sesebuah syarikat atau organisasi. Kalau dalam bab rumah tangga, kita kena bawa berbincang dengan pasangan mengenai ke mana hala tuju sesebuah perkahwinan tersebut. Lain orang, lain matlamatnya. Ada orang yang berkahwin sebab hendakkan harta kekayaan dan sebagainya. Mungkin itu akan jadi matlamatnya. Ada yang kahwin sebab nak kemahsyuran sebab dapat kahwin anak raja, boleh juga itu yang menjadi matlamatnya.

Namun sebagai seorang Muslim, setiap hari kita berdoa dengan doa di bawah. Doa yang digemari Nabi SAW, yang merangkumi kesemuanya. Dan inilah matlamat kita sebagai hamba Allah SWT di dunia ini iaitu untuk mendapat kebaikan di dunia, kebaikan di akhirat dan terselamat dari azab neraka.

Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka". (Al Baqarah:201)

Dalam Surah At Tahrim pula Allah SWT sekali lagi mengingatkan kepada hambaNya untuk menyelamatkan diri dan ahli keluarga dari api neraka. Perihal ini nyata bersesuaian kerana kebaikan di akhirat itu sendiri bermaksud terselamat dari seksaan api neraka.

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (At Tahrim : 6)

Bumbung Bawah - Misi
Bumbung kedua pula menceritakan tentang misi atau cara bagaimana untuk bertindak dalam mencapai visi kita tadi.
  • Menjadikan keluarga yang beriman & kaya dengan amalan soleh
  • Menjadikan keluarga yang proaktif mendakwahkan kebaikan kepada masyarakat
  • Menjadikan keluarga yang berakhlak mulia & sentiasa sabar dalam tingkah laku
Orang yang rugi tentu sekali orang yang tidak mendapat kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan tidak terselamat dari azab neraka. Dalam Surah Al A’sr, Allah SWT menerangkan ciri-ciri orang yang rugi iaitu selain daripada orang yang beriman DAN beramal soleh DAN berpesan dengan kebenaran DAN berpesan dengan sabar.

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Al ‘Asr : 1-3)

Imam Asy Syafi’i RAH berkata seandainya setiap manusia merenungkan surah ini (Al Asr), nescaya hal itu akan mencukupi untuk mereka. Maksudnya adalah surah ini telah cukup bagi manusia untuk mendorong mereka agar memegang teguh agama Allah dengan beriman, beramal soleh, berdakwah kepada Allah, dan bersabar atas semua itu.

Bukan bermaksud manusia cukup dengan hanya merenungkan surah ini tanpa beramal dengan keseluruhan syari’at. Akan tetapi seorang yang berakal yang memahami surah ini pasti akan berusaha untuk membebaskan dirinya dari kerugian dengan cara menghiasi diri dengan empat kriteria yang tersebut.

Jadi inilah yang akan dijadikan misi bagi sesebuah keluarga Muslim dalam usaha mencapai visinya tadi iaitu selamat dunia, selamat akhirat.

Siling - Teras Strategi
Siling atau alang bumbung pula menceritakan tentang strategi yang digunakan organisasi untuk melaksanakan misi-misi tadi. Sesuai dengan sifatnya yang memangku bahagian bumbung, teras strategi merupakan perkara asas atau corak yang dilaksanakan dalam usaha mencapai perkara-perkara yang disebut di atas.
  • Tilawah - Memberi ilmu agar tahu
  • Taklim - Mengajarkan dan meningkatkan kapasiti diri sehingga menjadi mampu
  • Tazkiyah - Membersihkan hati, agar termotivasi menjadi mahu
Dalam ayat di bawah, Allah SWT merakamkan doa dari Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS agar mengurniakan seorang Rasul untuk umat manusia. Allah SWT telah mengabulkan permintaan tersebut dengan menurunkan Nabi Muhammad SAW kepada kita umat akhir zaman.

"Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana". (Al Baqarah : 129)

Dalam ayat tersebut kita boleh belajar bagaimana metode dakwah yang dibawa oleh Nabi SAW iaitu dengan cara membaca (tilawah), mengajar (taklim) dan membersihkan hati (tazkiyah). Inilah metode yang terbukti berkesan apabila ajaran Islam berjaya mengubah kaum Jahiliyyah pada masa itu menjadi sebuah umat yang terbaik yang tiada tandingan. Hingga hari ini ajaran Islam masih teguh diamalkan dan terpelihara walaupun kita sudah jauh dari zaman tersebut.

Sekadar berkongsi, jika mahu mencari sekolah atau madrasah atau jemaah yang mampu mentarbiah diri kita atau anak-anak, carilah sekolah atau madrasah atau jemaah yang boleh menawarkan ketiga-tiga elemen tersebut di dalam model tarbiahnya. Jika tidak, produk yang dihasilkan melalui tarbiah yang kurang lengkap itu bakal menjadi sedikit cacat. Sebagai contoh, mungkin orang itu hebat dari segi ilmu agamanya tapi boleh jadi gagal dalam bab adab dan akhlaknya jika elemen tazkiyah ditinggalkan.

Tiang - Fokus Utama
Apabila kita sudah ada strategi bagaimana tarbiah itu bakal dilaksanakan, kita akan terjemahkan pula strategi tadi kepada setiap individu dalam anggota keluarga. Dalam al-Quran telah diterangkan mengenai ciri-ciri yang terpuji sebagai seorang mukmin yang professional iaitu Qawiy (kompeten), Alim (berpengtahuan) dan Amin (berintegriti).

Allah SWT merakamkan dialog di antara anak perempuan Nabi Syuib AS dengan bapanya itu yang menerangkan sifat Nabi Musa AS (kuat - kompeten dan amanah - berintegriti) seperti di dalam ayat berikut.

Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: "Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah". (Al Qasas : 26)
Di dalam ayat lain pula, Nabi Yusuf AS menerangkan ciri-cirinya yang Hafiz (penjaga yang baik dikategorikan sebagai berintegriti) dan Alim (berpengetahuan).

Yusuf berkata: "Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya". (Yusuf : 55)

Sememangnya tiga ciri kekuatan ini (kompeten, berpengetahuan dan berintegriti) merupakan tulang belakang kepada rumah tangga dan perlu ada dalam setiap diri individu dalam sesebuah organisasi. Cara untuk mencorak individu tersebut untuk memiliki tiga sifat tersebut pula mestilah berkait rapat dengan teras strategi di atas tadi iaitu melalui metode tilawah, taklim dan tazkiyah.

Lantai - Persekitaran Bi’ah Solehah
Lantai atau base/foundation bagi sesebuah keluarga Muslim pula boleh dikaitkan dengan persekitaran bi’ah solehah. Perkara ini penting kerana suasana dan persekitaran islami perlu ada sebagai perkara paling asas dalam rangka usaha kita melahirkan individu yang mempunyai tiga ciri di atas melalui metode yang telah disebutkan tadi.

Katakan kita mahu buat kek. Semua ramuan sudah siap namun tak ada pula bekas untuk diletakkan adunan tadi ataupun bekasnya ada cuma bekas tersebut kotor ataupun mungkin bentuk tidak sesuai. Maka kek yang akan dihasilkan pun akan kurang baik atau cacat.

Oleh itu sangat penting di peringkat awal perkahwinan, kita sediakan persekitaran yang baik ataupun bi’ah yang solehah supaya setiap individu dalam rumah tangga dapat dibentuk dengan sempurna melalui kaedah-kaedah yang telah disediakan.

Ciri-ciri bi’ah solehah  merangkumi:
  • Hidup bersyariat
  • Ukhwah
  • Kebersihan luaran dan dalaman

Allah SWT turunkan al-Quran sebagai panduan untuk umat manusia berkehidupan dengan cara yang mengikut syariat.

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa; (Al Baqarah : 2)

Allah SWT juga banyak sekali memerintahkan untuk memperhubungkan silaturahim dan memelihara hubungan.

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (Al Hujurat : 10)

Dan akhir sekali, dalam satu hadith Nabi SAW ada menyebut, Allah Maha Indah dan menyukai keindahan. Dapat diambil faedah bahawa menggunakan pakaian yang bagus dan indah, memperindah fizikal, selama tidak disertai dengan kekaguman pada diri sendiri (‘ujub) dan kesombongan baik secara lahiriyah mahupun batiniyyah adalah dituntut.

Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. (Al Muddathir : 4)

Kesimpulan
Makanya, persekitaran bi’ah solehah yang baik haruslah memiliki anggota-anggota yang sentiasa mengamalkan kehidupan bersyariat, saling kasih mengasihi dan menyayangi serta menjaga kebersihan luaran dan dalaman (hati). Apabila persekitaran baik wujud, maka mudahlah untuk proses pentarbiahan dijalankan dengan baik dan berkesan lalu menghasilkan individu yang mempunyai ciri yang terpuji dalam menjalankan strategi dan misi bagi mencapai tujuan dan matlamat yang satu iaitu memperolehi kebaikan dunia dan akhirat.

Insya-Allah ini adalah sedikit ringkasan daripada huraian panjang lebar di dalam buku yang gua tengah tulis. Mudah-mudahan Allah SWT bagi kekuatan untuk gua menulis sampai siap buku tersebut. Kalau nak baca details, tunggulah sampai buku tu terbit nanti insya-Allah.

Sekian!

2 comments:

Macy Humaira said... [Reply]

tau x.. macy ni visi ngn misi pn xreti nk bezakan.
try klik gambor.. blur pulak. line ciput sini

Bijen M. said... [Reply]

@Macy Humaira
Dulu-dulu time sekolah mesti tak baca kulit belakang buku latihan.
Visi dan misi pendidikan.
Ha ha!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...