12.12.15

Mencari Keberkatan Rezeki?

Hari tu gua ada cerita di Facebook pasal gejala Cik Ti (sepupu Che Ta) yang melanda rumah tangga gua secara rejim. Bini gua berpendapat kedatangan Cik Ti dan keluarga ini adalah kerana proses migrasi mereka dari habitat asal akibat daripada projek-projek pembinaan yang pesat membangun di sekitar Bandaraya Kerteh. Oke, tak mengapa. Satu perkara yang kita tak mampu kawal secara langsung. Takkan nak berpiket membantah pembinaan-pembinaan yang sedang dijalankan tu pula kan?

Bila gua berdiskusi secara ilmiah tentang perkara ini bersama teman sekerja, mereka bilang faktor Cik Ti datang menginap di kediaman kita adalah kerana wujudnya sumber makanan di situ. Mengikut logik rantai makanan, begitulah sepatutnya bukan? Apapun, pernyataan tersebut membuatkan gua termenung sejenak lantas mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana ini merupakan satu petanda yang rumah gua tak adalah mengalami food shortage malah mungkin sampai berlebih dan tidak diagih-agihkan sehingga Allah SWT hantar makhluk halus untuk menghabiskan sisa saki baki makanan yang ada. Nabi SAW kata, selagi ada cuka di rumah, itu belum dikira miskin lagi. Cuma di Malaysia, penanda aras jumlah pendapatan RM 3,600 ke bawah digunakan untuk mengkategorikan golongan miskin bandar.

Hasil diskusi, teman sekerja gua itu mencadangkan agar semua stok makanan di rumah gua dihabiskan. Setelah itu, major housekeeping hendaklah dijalankan bagi menghapuskan segala daya tarikan yang dapat mengundang minat Cik Ti. Bila Cik Ti berasa lapar dan tak jumpa makanan di rumah gua, harapnya dia bolehlah cari perumah lain untuk menumpang kasih dan simpati.

Akibat mengikut nasihat beliau, dapur di rumah gua sepi buat seketika dari berasap. Makanan gua bawa balik dari tempat kerja ataupun dibeli saja lauk dari kedai makan tepi jalan on the way ke surau tu. Nak jadi cerita satu hari tu gua beli lauk paprik untuk dua orang makan nak bawa balik ke rumah. Harganya RM 10. Gua tak mahu kompelin pasal harga. Cuma bila nak makan tu, gua rasa macam nak menangis pun ada.

Bila lauk paprik tersebut dituang ke dalam mangkuk, sedihnya alahai gua tengok. Jumlahnya tak seberapa, tapi harga macam nak gila. Tapi tak apalah. Siapa suruh membazir sangat sebelum ni. Sekarang rasakan hidup gaya macam orang kaya, makan sikit bayar mahal. Waktu tu kami laki bini makan berpada-pada supaya lauk tersebut dapat disimpan makan sampai hari esok. Waktu itulah baru teringat nak berdoa dengan penuh sungguh-sungguh dan tawajuh supaya lauk yang ada di depan mata itu menjadi betul-betul berkat. Tak pernah gua rasa nak menangis tatkala membaca doa makan selain dari waktu itu, nak menunjukkan betapa bersungguhnya gua berdoa.

Allahumma barik lana fima razaqtana waqina 'azabannar. Bismillahi wa'ala barakatillah.
Ya Allah! Berkatilah rezeki yang telah Engkau kurniakan kepada kami dan jauhkanlah kami dari seksaan api neraka. Dengan nama Allah dan dengan keberkatanNya.

Bercakap pasal keberkatan, baru-baru ni gua blogwalking entri-entri lama. Terjumpa ungkapan ini dekat entri Makwe Bekerjaya yang pernah panas sirinya suatu ketika dulu.

"Daripada manusia sibuk membetulkan dunia (urusan rezeki) lebih baik manusia sibuk membetulkan amalan. Hasilnya bukan rezeki halal sahaja malah rezeki yang mulia." - Rizqan Karim

Ayat tersebut berjaya menyiku diri gua yang tatkala ini terlena. Biasalahkan dah namanya manusia. Tak cukup segunung emas, mahu tambah segunung lagi. Bila mulut dah disumbat tanah, barulah dia sedar semula. Mulut disumbat tanah ni adalah bila maut menjelma, tanah kubur tu dah masuk ke dalam mulut. Kalau sedar waktu tu dah tak ada guna.

So atas sifat fitrah manusia yang kadang-kadang sedar dan kadang terleka, kita semua pun macam tu juga. Kadang-kadang duit gaji yang kita dapat bulan-bulan tu cukup saja sebenarnya. Tetapi atas faktor-faktor semasa, kadang-kadang kita pun terkesan sama. Kita dengar harga barang naiklah, tol naiklah, taraf hidup naiklah, semua pun nak naik. Maka kita pun tak ketinggalan turut naik semangat nak naikkan sumber pendapatan kita. Maka kerja-kerja sampingan pun dicarilah dengan harapan income bulanan meningkat.

Ada yang menjual itu, ada masuk MLM ini, ada yang terjebak skim itu, ada yang yang buat freelance ini. Maka dalam sedar tak sedar, kita telah menambah masa kerja kita dari lebih kurang 8 jam sehari ke beberapa belas jam lagi. Oh, cumanya masa sehari yang semua orang rasa tetap tak bertambah, ada 24 jam juga dalam sehari.

Dan masalahnya di sini adalah apabila kita dalam sedar tak sedar telah mencampur adukkan masa kerja kita antara satu sama lain. Ah, senang cerita sewaktu office hour pun kau sibuk dengan bisnes tepi (side business) kau tu. Tengah waktu kerja kau sibuk dengan call client sana sini, buat urusan bisnes tepi dan macam-macam lagi perkara yang tak sepatutnya. Kadang-kadang majikan memanglah pandang sebelah mata saja, tetapi bagaimana pula kita pada pandangan Allah SWT yang merupakan pengurnia rezeki hakiki.

Kadang-kadang tu terasa macam kita ni dah berlaku khianat dengan majikan yang sentiasa percaya kita, meletakkan harapan tinggi pada kita dan hujung bulan tak pernah lupa masukkan gaji ke dalam akaun bank kita. Namun kita pula sibuk dengan Facebook, ber-Whatsapp dan berbagai-bagai lagi urusan peribadi. Mudah-mudahan kita dikurniakan majikan yang mengasihani dan menghalalkan lebihan gaji yang dibayar pada kita tu akibat dari keculasan kita bekerja. Jika tidak Allah SWT boleh saja menariknya kembali dalam bentuk musibah seperti kemalangan, kesakitan dan berbagai bentuk asbab yang lain sehingga kita terpaksa menghabiskan duit (yang bukan hak kita itu tadi) dengan banyak.

Dan perkara ini tidaklah terhad untuk orang yang bekerja saja. Isteri di rumah pun sama. Jika seorang pekerja tak sepatutnya khianat kepada majikannya, begitulah isteri tidak sepatutnya khianat kepada suaminya. Khianat ini dalam kata mudahnya tidak melakukan seperti yang disuruh agama. Maka seorang isteri sepatutnya mentaati segala kehendak suami tak kiralah seremeh mana pun permintaan itu asalkan tidak ke arah maksiat. Dengan erti kata lain isteri tidak berlaku derhaka, tidak membelakangi suami, tidak menyakitkan hati suami dan berbagai lagi. Perkara ini sangat berkait rapat dengan keberkatan hidup sama seperti konsep seorang anak dengan ibunya. Walaupun seorang ibu tidaklah memberi gaji kepada anaknya, tapi ketaatan anak kepada ibunya akan membuka jalan keberkatan rezeki. Orang yang tidak menghormati ibu, insya-Allah, jalan rezekinya pun bakal sempit.

Dan paling penting, seorang hamba pun ada majikannya iaitu Si Pemilik Hamba, Allah SWT. Dalam kita sibuk mencari rezeki, terkadang kita terlupa kepada Si Pengurus Rezeki. Kita terlupa meminta dan memohon kepadaNya. Solat 5 waktu kita tak pernah jaga. Dhuha dan sedekah tak ada langsung dalam kamus hidup kita. Oh, bagaimana ya kalau kita nak bayar segala nikmat yang Tuhan telah beri pada kita? Kita buat kerja pun pakai mata, kaki dan tangan yang Allah SWT kurnia. Tak ada pula bayar sewa. Itu belum masuk lagi nafas yang kita sedut sentiasa.

Dan kesimpulannya, kalau kita betul-betul menitikberatkan urusan kita dengan tuan kita; pekerja dengan majikannya, isteri dengan suaminya, hamba dengan Penciptanya, insya-Allah apa yang sedang kita perolehi setiap bulan akan cukup buat kita. Bukanlah nak kata tak perlu buat bisnes tepi, cuma kalau kita masih belum pandai membahagi masa itu sebaik mungkin tanpa melanggar hak-hak yang lainnya, ada bagusnya kalau kita menumpukan untuk memperbaguskan urusan semasa. Pesanan ini untuk diri sendiri juga. Wallahu'alam.

Rezeki yang berkat itu sedikitnya cukup, banyaknya boleh diagih-agihkan. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...