23.12.15

Bahagiakah Poligami?

Ohai! Salam tuan-tuan dan puan-puan yang budiman. Apa khabar iman? Semoga sihat-sihat sentiasa. Tuan-tuan ada cita-cita nak kahwin lagi? Puan-puan pula ada tak yang sudi bermadu? Ah, bukankah madu itu manis rasanya. Harga pun mahal bukan? Madu stick yang kurus keding sekali telan habis itu pun orang boleh jual dengan harga sampai RM 2. Hmm.

Baiklah, baru-baru ni gua pergi menimba ilmu madu menerusi Seminar Fiqh Poligami anjuran K-Fiqh. Oh bagi yang tak tahu, sebenarnya gua memang hidup dalam keluarga yang mengamalkan pemakanan madu dalam kehidupan seharian. Selain itu keluarga gua juga bermadu. Bukan gua yang berpoligami, tapi abah gua. Gua coming soon kot insya-Allah. Itupun kalau ada jodoh. Kepada bini gua, tak perlulah risau-risau ya. Semuanya telah ditentukan oleh Allah SWT. Seperti mana kita yang tak pernah merancang pun untuk bertemu dan berkahwin, begitu juga untuk yang seterusnya. Oke, abaikan.

Atas kapasiti sebagai seorang anak yang prihatin, gua mengambil inisiatif untuk mempelawa mak abah gua menyertai seminar berkenaan. Di samping itu gua tidak lupa mengajak bini gua yang disayangi itu sekali untuk join supaya beliau mendapat pemahaman yang sebenar tentang perkara ini. Sekurang-kurangnya kalau beliau tak mahu dengar hujah gua sekalipun, beliau boleh ambil hujah dari orang yang lebih berkredibiliti kefaqihannya seperti Ustaz Dr Zaharuddin, Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, Ustazah Norhafizah Musa dan ramai lagi. Mula-mula beliau setuju dengan syarat mak gua pergi. Tapi bila mak gua meng-confirm-kan RSVP-nya, dia tak jadi pula. Tak apalah dah tak ada rezeki. Kawan cakap belum bersedia lagilah tu. Mungkin perlukan sedikit masa.

Gua ajak mak abah gua ni bukan apa, macam CSR (corporate social responsibility) jugalah. Supaya masing-masing dilengkapi ilmu yang diperlukan dalam menempuh kehidupan yang penuh suka-duka itu. Bila seseorang itu dilengkapi ilmu, maka dia akan faham apa nak buat sebelum sesuatu keputusan diambil. Apapun ilmu mestilah disatukan dengan zikir mengingati Allah SWT. Kalau sekadar ada ilmu, tetapi tindak-tanduk tetap tak ingat Allah SWT, jadilah ilmu itu bukan satu ilmu yang bermanfaat. Kata orang lama-lama, ilmu tanpa zikir itu sombong manakala zikir tanpa ilmu itu sesat.

Last-last mak gua dan gua saja yang sedia nak pergi seminar tu. Bapa gua ada hal pada tarikh berkenaan. Bini gua tetap tak nak join. Beliau lebih sanggup tunggu kitorang dari pukul 8.30 pagi sampai 7.00 malam di luar dewan. Tak apalah. Mudah-mudahan beliau pun mendapat tempias doa para malaikat terhadap orang-orang yang menghadiri majlis ilmu. Amin.

Kalau tanya gua pula sebab apa join, gua pun join atas dasar ilmu kerana Allah SWT. Gua banyak bercakap pasal hal poligami ini, maka moleklah kiranya gua mencedok sedikit sebanyak ilmu dari orang yang sepatutnya untuk diselitkan dalam penyampaian gua. Takut-takut ada yang salah. Dan memang selama ini pun, gua selalu muzakarahkan perkara ini dengan para asatizah dan du’at. Menyampai bukan apa, sekadar mencerahkan kesalahfahaman masyarakat terhadap isu ini. Moga-moga kita boleh memandang perkara ini sebagai satu perkara yang bukan lagi tabu untuk diperbincangkan. Lagipun gua tengah mencari isi-isi untuk dimuatkan dalam buku yang sedang gua tulis sekarang.

Baiklah! Berbalik kepada perkara pokok perbincangan, selepas saja habis program mak gua dan bini gua (yang curi-curi dengar dari luar dewan) bersepakat mengatakan siri pembentangan dari awal hingga akhir bersifat bias kerana pembentangnya kebanyakan orang yang mengamalkan poligami. Bagi gua tak ada salahnya. Ini kerana tajuk seminar memang ke arah itu iaitu Seminar Fiqh Poligami. Jika difahami melalui tajuk tersebut, memang perbincangannya akan berkisar kepada hukum-hakam yang berkisar dalam kehidupan berpoligami. Seperti kursus kahwin yang diwajibkan kepada pasangan yang baru nak kahwin, semestinya penceramahnya di kalangan orang yang sudah berkahwin. Takkanlah orang bujang pula yang akan sampaikan kursus tersebut ye dak? Dan memang gua syorkan jika ada pasangan yang mahu berpoligami agar diwajibkan menghadiri kursus dan seminar seumpama ini agar masing-masing faham tentang hak dan tanggungjawab mereka. Jika beramal tanpa ada ilmu, maka boleh jadi teruk juga natijahnya.

Apa yang dapat gua simpulkan melalui kursus tersebut adalah:

  1. Para wanita sebenarnya harus berlapang dada dan positif menerima kedudukan syariat poligami dalam agama seperti mana penerimaan kita terhadap syariat-syariat yang lain umpamanya puasa, solat, zakat, sedekah, faraid, hudud dan sebagainya kerana hal ini sangat berkait rapat dengan soal akidah.
  2. Kebanyakan wanita memandang sensitif apabila berhadapan dengan isu poligami adalah kerana ketakutan yang ada dalam diri mereka. Antaranya takut hati disakiti hingga menyebabkannya susah mentaati suami. Selain itu mereka juga bimbang berlakunya pengabaian dan kecuaian di pihak suami. Mereka juga tidak suka dibandingkan dengan wanita lain dan takutkan persaingan kasih sayang dan hak-hak mereka. Jadi para suami, please take note!
  3. Hukum keharusan poligami bagi gua adalah sama seperti perkahwinan biasa. Jadi sunnah bila dibuat ikut syariat dan ada kebaikan atau maslahah syarak dalam perkahwinan tersebut. Jadi wajib jika ada keyakinan untuk mampu berkahwin dan yakin jika tidak berkahwin lagi boleh mengakibatkannya terjebak dalam maksiat. Jadi makruh jika sekadar mengharapkan keseronokan melalui perkahwinan dan meragui kebolehan untuk berlaku adil. Haram pula bagi yang yakin memang tidak mampu dan bakal mengakibatkan mudarat kepada orang lain ataupun tak ada kewibawaan untuk berpoligami. By the way, kita kena faham yang dimaksudkan dengan sunnah bukanlah sekadar buat dapat pahala tak buat tak apa. Tapi yang sebenarnya adalah buat dapat pahala besar, tak buat rugi besar.
  4. Agama umpama farmasi. Poligami adalah ubat yang diberikan kepada sebahagian orang dan tidak semestinya sesuai untuk semua orang. Bagi orang yang sepatutnya, ubat tersebut pasti ada kebaikan untuknya walaupun kadang-kadang dia tidak tahu.
  5. Bagi wanita yang menemui kesukaran menghadapi poligami, sebaiknya mengamalkan teknik psikologi seperti berikut untuk lebih rasional dalam tindakan. Iaitu (1) Stop – Bertenang dahulu. (2) Listen – Mendengar penjelasan. (3) Think – Fikir hikmah dan mencari positif disebaliknya. (4) Communicate – Barulah kita respons terhadap situasi tersebut. Insya-Allah kita akan lebih tenang dan rasional.
  6. Kena anggap ini adalah nikmat berkeluarga. Ada orang masuk syurga asbab amalan tahajudnya. Ada yang masuk syurga asbab kesabarannya. Ada yang berjaya asbab isterinya, suaminya, anaknya, hartanya, dan bermacam-macam lagi. Sebab itu kena sentiasa positif dan menganggap mungkin ini jalan yang Allah SWT tentukan agar kita dapat masuk syurga.
  7. Bila berpoligami, suami yang baik akan menganggap setiap masa di rumah itu sangat penting. Sebab itu kita akan dapati bila suami berkahwin lagi, kadang-kadang kasih sayangnya makin bertambah-tambah berbanding sewaktu kahwin seorang dahulu.
  8. Sebelum berkahwin, ketaatan seorang wanita adalah kepada kedua ibu bapanya. Syurga di bawah telapak kaki ibu. Bila sudah berkahwin, ketaatan wanita adalah kepada suaminya. Syurga di dalam redha suaminya. Namun bila berpoligami, kunci syurga bagi suami kini adalah dalam kemaafan dan redha isterinya. Maka suami dah turun pangkat dan isteri naik pangkat. Jaga-jaga!
  9. Jika masih bujang, jangan tergopoh-gapah mahu berpoligami. Jika baru berkahwin, sekurang-kurangnya 5 tahun pertama perkahwinan itu kita relaks-relaks dahulu. Umur yang sesuai adalah dalam lingkungan 35 tahun dan ke atas.
  10. Kelebihan lelaki yang berpoligami adalah selalunya dia memiliki otak yang cair kerana dia harus laju berfikir sebelum bercakap atau bertindak.
  11. Salah faham masyarakat hari ini yang menggunakan kisah Rasulullah SAW tidak membenarkan Ali RA memadukan Fatimah RHA sebagai dalil mereka menghalang poligami. Jika dilihat pada sambungan asal hadith, Rasulullah SAW mengatakan bahawa Baginda SAW tidak sesekali menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Namun adalah tidak wajar memadukan puteri Rasulullah SAW bersama puteri musuh Allah SWT iaitu anak Abu Jahal. Kapten Hafiz ada bagitahu bahawa Ali RA sudahpun memadukan Fatimah RHA dengan hamba sahayanya yang dimerdekakan saat Fatimah RHA masih hidup lagi.
  12. Salah faham masyarakat adalah mencari bahagia dalam rumah tangga. Yang sepatutnya adalah membawa bahagia ke dalam rumah tangga.
  13. Hendaklah difokuskan kepada matlamat iaitu untuk kemaslahatan agama. Jangan asyik meletakkan cemburu mengatasi segala-galanya.
  14. Hindarkan rasa memiliki dan dimiliki seolah-olah ranking cinta itu hanya pada suami saja. Mungkin ini ujian dari Allah SWT untuk bagitahu bahawa cinta Allah SWT dan Rasul SAW perlu melebihi segalanya.
  15. Poligami adalah pintu kecemasan dan bukan untuk semua orang. Secara umumnya orang nak naik bas perlu ikut pintu utama. Tetapi jika ada keperluan, pintu kecemasan perlu digunakan. Fakta yang dibawakan adalah lebih kurang 80% orang Islam di Malaysia tidak bersolat. Fikirkan apa yang bakal terjadi jika orang yang tidak bersolat mengamalkan poligami? (Gua menambah, jadi hati-hatilah kalau nak cari pasangan sebab banyak orang tak bersolat di luar sana. Ini juga antara keperluan berpoligami sebab lelaki yang berkaliber di luar sana dah makin sikit)
  16. Sebab itu wajar bagi wanita menawarkan diri untuk jadi madu bila tengok ada lelaki berkaliber. Contohnya sahabiah yang menawar diri menjadi madu kepada isteri Rasulullah SAW semata-mata ingin mendapat kelebihan menjadi isteri Nabi SAW.
  17. Tidak sepatutnya melabelkan perempuan yang mencari suami orang sebagai perampas atau terhegeh-hegeh kerana dia buat berkenaan kadang-kadang adalah demi masa depannya. Kena faham bahawa berkahwin bukanlah sekadar keperluan seks semata tapi lebih kepada soal kehidupan.
  18. Wanita jangan sekadar rasa beruntung mempunyai suami soleh. Tapi kena ambil faedah dan pelajaran dari suaminya. Sebagai contoh, setiap isteri-isteri Nabi SAW ada sumbangan dan peranan besar dalam masyarakat.
  19. Kadang-kadang kena fikir, we can’t adjust the wind but we can adjust the sail.
  20. Ustaz Pahrol menyimpulkan jika sepasang suami isteri yang sama soleh pergi haji atau umrah dan saling berdoa di waktu mustajab; suami doa untuk berkahwin lagi manakala isteri berdoa agar cukup seorang saja. Yang akan dikabulkan Allah SWT adalah permintaan yang terbaik untuk mereka berdua. Tak kiralah yang terbaik itu adalah berpoligami ataupun tidak. Allah SWT sebaik-sebaik perancang.
  21. Akhir sekali, hiduplah kerana Allah (ikhlas), hidup dengan Allah (dengan qadar ketentuanNya) dan hidup bersama Allah (selaras dengan syariat)
Alhamdulillah, seminar tersebut mendapat sambutan positif dari masyarakat. Peserta yang datang dari seluruh negara. Ada yang datang bujang. Ada yang bersama isteri. Ada yang membawa madu-madunya. Ada juga yang membawa isteri dan bakal madu. Hebat! Gua sempat berkenalan dengan dua orang sahabat. Seorang datang bersama isteri dan bakal madunya. Seorang lagi adalah guru yang mengambil cuti untuk menyiapkan tajuk sarjananya yang berkisar poligami.

Jujurnya, selepas seminar gua seperti mendapat semangat baru. Sepertimana dulu semangat nak berkahwin (baca sini) telah menjadi satu turning point yang berjaya merubah gua dari sisi kehidupan jahil kepada yang sekarang, begitu juga gua memandang positif poligami ini dapat menjadi satu lagi turning point untuk seseorang (dan untuk gua juga) berubah dari seorang suami yang biasa-biasa saja kepada seorang suami yang luar biasa. Sepertimana seorang lelaki perlu menjadi hebat untuk memimpin sebuah keluarga, dia juga perlu berganda-ganda lebih hebat jika mahu memimpin beberapa buah keluarga lagi. Jadi tak mahukah para wanita sekalian mahukan lelaki yang hebat memimpin anda?

Apapun semuanya harus diletakkan syarat suami tersebut mengikuti jalan yang telah diperuntukkan oleh undang-undang. Biarlah mahkamah yang menilai kelayakan kita untuk berkahwin lagi. Jangan ambil jalan mudah dengan berkahwin di Siam misalnya kerana tak ada langsung kewibawaan bagi lelaki sebegitu.

So, bahagia tak sebenarnya poligami ini?


4 comments:

~fam~ said... [Reply]

Poligami ni sensitif bro! Biarlah masa yg menentukan penerimaan hati perempuan itu. Kavaulah perempuan itu sudah diajar dan difahamkan tentang poligami,dan lelaki itu tahu yang poligami memerlukan usaha untuk mendalami adil yg lebih lagi pasti tiada peperangan yang timbul. Hati perempuan

Bijen M. said... [Reply]

@~fam~
Sebab itulah seminar-seminar seumpama ini dianjurkan.
Semuanya diterangkan.
Tinggal kita nak pi atau tak saja.

~fam~ said... [Reply]

Ye bro. Slow slow bro.

Bijen M. said... [Reply]

@~fam~
Omputih kata slow & steady win the race.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...