14.9.15

Perkahwinan; derita atau bahagia?


"Kadangkala perkahwinan tak semestinya menjanjikan bahagia. Kerana bahagia itu satu perkara yang terlalu sukar dicerita. Ada orang yang derita dalam bahagianya. Ada juga yang bahagia dalam deritanya. Apa sebenarnya erti kebahagiaan? Adakah sentiasa gembira dengan kehidupan, walaupun yang dibuat itu adalah larangan?"

 Suasana dalam kereta sunyi sepi. Budin fokus dengan pemanduannya sehinggalah kakaknya tiba-tiba berbunyi, "Kau nak kahwin dengan siapa sebenarnya?"

Budin termenung jauh. Dalam kepalanya tiba-tiba muncul nama-nama gadis yang telah dia senarai pendekkan. Oh! Budin bukan pencinta wanita. Bukan juga seorang buaya. Akan tetapi gadis-gadis itu adalah antara kenalannya yang dia sedang fikirkan untuk dijalinkan hubungan secara serius melalui ikatan perkahwinan. Mungkin pada prinsipnya tak ada cinta-cinta sebelum kahwin. Tetapi untuk jatuh cinta itu tidaklah mustahil.

"Hmm..." Budin menghela nafas sambil menggenggam kemas stereng kereta.

Kakaknya membetulkan posisi kedudukannya, cuba mendengar dengan penuh minat jawapan yang akan disampaikan.

"Yang aku nampak Izzati ni boleh bantu aku buat kerja", Budin mula bercerita mengenai gadis pertama.

"Baguslah kalau boleh bantu kau buat kerja. Tapi kerja kau sekarang ni susahkah?" soal kakaknya.

"Maksud aku kerja dakwahlah", Budin membalas.

"Dia belajar overseas. Mesti fasih berbahasa Inggeris. Lagipun tentu ada pengalaman bergaul dengan masyarakat bukan Muslim di sana", tambah Budin.

Dia membayangkan suatu hari nanti dia mahu pergi berdakwah ke luar negara bersama bakal isterinya yang sudah tentu memerlukan kemahiran berbahasa yang baik.

"Plus dia pun boleh berbahasa Arab. Mudah untuk aku terima jemaah dakwah dari negara luar nanti. English boleh, Arab pun boleh. Nanti boleh jadi tukang terjemah."

"Dia pun pernah bantu aku terjemahkan satu penulisan. Alhamdulillah, penulisan tersebut disambut baik oleh pembaca. Aku ni bukannya pandai mana nak tulis Arab. English pun berterabur. Harapnya dapat juga tumpang belajar slow-slow."

"Haa yelah tu!" kakaknya membalas.

Budin menyambung pula cerita perihal gadis kedua.

"Ainun pula, kami macam ada persamaan. Suka berkarya barangkali. Kenal pun melalui hasil karya. Aku cukup suka dengan karyanya."

Tiba-tiba Budin teringat akan satu perkataan yang telah mengembalikan kenangan yang telah terpahat di dalam memorinya, Zendagi Migzara (Life goes on (?)).

"Dia ada ramai kawan. Antara kawannya kawan aku juga. Iyalah bila dah berkongsi minat yang sama, tentu berkongsi kawan yang sama. So insyaAllah memang boleh masuklah", Budin menyambung cerita.

"Lagi pula tulisannya sangat influential. Bila digunakan untuk kerja dakwah, nampak lebih mudah. Medan dakwah lebih luas kerana audiens besar. Nampak kelebihannya di situ."

Budin senyum melebar. Kalau tadi mod serius, sekarang sudah masuk mod berjiwa pula. Bibirnya cuba mengungkap bait-bait lirik lagu Perwira dendangan Saloma.

Kekanda di medan perang
Adinda di medan seni
Sama-sama berjuang
Sama-sama berbakti
Semoga tabah hati

"Zalikha pula macam mana?" tanya kakaknya perihal gadis yang ketiga.

"Zalikha?" Budin pantas membalas.

"Yelah. Zalikha yang kau selalu cerita tu."

"Zalikha ni aku tak nafikan memang cantik. Tengok pun cair. Kalau aku tengok dia, aku boleh tersenyum sorang-sorang macam orang gila."

"Ha ha! Dah, kau tak nak kat dia?"

"Cuma aku tak dapat nampak lagi apa yang aku boleh buat dengan dia melainkan dia boleh buat aku fana seketika. Ha ha!"

Bukan mahu berkata Zalikha tidak baik. Cuma Budin rasa dia belum kenal betul dengan Zalikha, maka dia tidak berani berkata apa-apa.

"So kau nak pilih yang mana?"

"Hmm… Yang sedang-sedang saja... ohhh… yang sedang-sedang saja..."

***

Baik! Kita skip kisah perkahwinan Budin, siapa yang dia pilih dan lain-lain. Kalau kau kerja HR, kau pasti tahu apa tools orang HR pakai untuk buat selection selepas dia interview beberapa calon untuk diambil bekerja.

***

Budin kini sudahpun berumah tangga. Tugas berat Budin dan isterinya bermula. Tiada masa rehat lagi untuk mereka berdua. Rehat cuma saat nyawa terpisah dari jasad. Itupun belum tentu dapat rehat dengan selamat kalau persediaan kubur tak dibuat.

Budin merancang aktiviti harian bersama keluarganya dalam rangka kerja dakwah. Perancangan dibuat di dalam mesyuarat harian bersama anggota keluarga. Laporan kerja hari sebelumnya dibentangkan. Dari situ segala kekurangan dapat dikesan dan diperbaiki. Setelah itu tanggungjawab kerja dakwah pada hari itu dibahagi-bahagikan sesama mereka. Dari situ, mereka nampak jelas apa misi dan visi yang ingin dicapai pada hari berkenaan.

Setiap pagi sebelum mereka memulakan tugas masing-masing, mereka sekeluarga akan duduk sebentar dalam halaqah Al-Quran. Kitab suci dibaca seorang semuka beserta makna. Dengan demikian dapat mereka memperdengar dan memperbetulkan bacaan sambil-sambil mengulangkaji hukum tajwid, mengambil iktibar serta pengajaran. Bukankah Nabi SAW berkata, orang yang paling baik di antara kamu adalah orang yang belajar dan mengajarkan Al-Quran. Mudah-mudahan bertambah keberkatan dalam rumah tangga mereka melalui bacaan tersebut.

Hari isterinya sebagai surirumah bukanlah mudah. Selain tanggungjawab terhadap keluarga, tanggungjawab kepada agama perlu difikirkan juga. Walaupun disekelilingnya tembok empat penjuru, tapi fikirnya tak sepatutnya terhenti di situ. Fikirnya harus infiniti. Inilah yang dinamakan fikir alami. Fikir seluruh alam bagaimana seluruh ummah dapat hidayah. Khidmatnya untuk ummah.

Perkara ini dipelajarinya sewaktu keluar berdakwah. Dia belajar bermujahadah. Semasa keluar berdakwah, ada ketikanya dia ditugaskan untuk khidmat kepada ahli jemaah. Dari sinilah dapat dipelajari beberapa sifat antaranya ithar iaitu sifat mengutamakan orang lain lebih daripada diri sendiri. Sifat ego juga dapat dikikis dan sifat berbaik sangka dapat dipupuk.

Semasa khidmat, dia juga dapat belajar memasak dengan orang-orang lama. Semua pengalaman ini gunanya apabila berada di rumah di hari-hari biasa. Masaknya di rumah bukan sekadar keperluan perut keluarganya akan tetapi turut difikirkan jiran tetangganya. Makanan di rumah jiran ada atau tidak itu perkara kedua. Apa yang pentingnya adalah hubungan silaturahim yang mahu dijaga. Nabi SAW pun pesan, berbuat baiklah dengan jiran. Banyakkan memberi makan. Nak tambat hati, perut perlu ditawan. Bila ada hubungan baik sesama jiran, mudahlah kerja dakwah nak dijalankan. Ini kalau rumah pun jarang keluar, sesama jiran pun tak bertegur sapa, macam mana dakwah kita orang nak terima.

Pada hari-hari tertentu pula dia perlu pergi ke kelas pembelajaran formal di madrasah (Ya! Ada madrasah yang menerima pelajar dewasa) selain kuliah-kuliah tidak formal seperti ceramah-ceramah di surau dan masjid. Tujuannya supaya ilmu agama yang sekadar diingati saja sebelum ini dapat didalami. Dulu muda-muda belajar sebab nak lulus periksa. Sekarang dah tua belajar sebab betul-betul dah ada kesedaran agama. Dulu Budin nak kahwin dengan ustazah tak dapat, sekarang kenalah jadikan bininya ini ustazah lompat. Walaupun dah terlewat namun tetap masih belum terlewat untuk jadi ustazah kepada si aulad.

Dari sini, bukan saja anak sendiri akan tetapi anak-anak jiran pun boleh dapat manfaat. Bila mana ada hubungan baik dengan jiran, mereka pun sudah ada kepercayaaan. Maka mereka akan menghantar anak-anak untuk belajar perkara-perkara asas agama seperti belajar mengaji dan sebagainya. Syaratnya yang nak mengajar kenalah belajar betul-betul dulu (melalui pendidikan formal tadi). Bila perkara ini diusahakan, di rumah dapatlah diwujudkan maktab Al-Quran. Yang mana dari rumah kita lahir generasi yang celik Al-Quran. Oh! Sahamnya diperolehi oleh siapa? Bukankah bila kanak-kanak ini membaca sepanjang hidupnya, setiap huruf yang dibaca dia sedang membina pahala untuk kita?

Sebab itulah Budin sangat menitik beratkan kemasan dan susun atur rumahnya. Sengaja dibiarkan ruang tamu menjadi selapang-lapangnya supaya ramai orang dapat datang mengunjunginya. Jiran-jiran datang untuk bersilaturahim dan bertegur sapa. Kanak-kanak datang untuk belajar agama. Mudah-mudahan, para tetamu yang sentiasa bekunjung tiba membawa seribu satu kebaikan bersama.

Kemudian malam mereka diisi pula dengan bacaan-bacaan taklim kalam Allah dan kalam Rasulullah melalui kitab-kitab yang ada. Setiap anggota keluarga akan duduk dan memberi perhatian terhadap perkara yang dibaca.  Fokus diberikan  kepada matan hadith yang dibaca dalam bahasa Arab. Secara tidak langsung asas bahasa Arab dapat diperbaiki. Kosa kata baru dapat dipelajari. Yang paling penting sekali, moga-moga jazbah keinginan masing-masing akan meningkat untuk beramal. Keyakinan terhadap janji-janji Allah di dalam sanubari pun menebal.

Melalui bacaan taklim itu juga rumah dapat dihidupkan dengan perkataan-perkataan Nabi SAW. Seolah-olah Nabi SAW sendiri berada di rumah kita. Cuba bayangkan kalau Nabi SAW sedang berada di rumah kita, apa yang kita akan lakukan? Rasanya televisyen pun kita campak dalam stor simpanan. Majalah-majalah hiburan pun kita akan sorokkan. Gambar-gambar yang tergantung di dinding kita akan simpan. Sebab kita malu dengan Nabi Muhammad SAW rasul utusan. Maka tidak ada lagi peluang untuk membuat kemungkaran.

Bila hari cuti pula dalam sebulan sekali diadakan juga muzakarah berkenaan adab sunnah seharian dan ulangkaji surah-surah dan doa-doa hafalan. Perkara asas fardhu ain juga perlu diulangkaji dari semasa ke semasa seperti perkara solat terutamanya. Kerana solatlah perkara pertama yang akan ditanya di akhirat sana. Baik solat, baiklah semua. Punah solat, amalan banyak mana sekalipun takut-takut tak akan diterima. Solatlah perkara yang paling penting untuk diberi perhatian. Sehinggakan dalam pendidikan awal kanak-kanak, solat itu perkara yang Nabi SAW tekankan. Kerana nak membentuk generasi itu harus bermula dari solat yang dijadikan sebagai kayu ukuran.

Itulah, jadi bini Budin bukan mudah. Orang lain nampak kerja surirumah itu kerja mudah tapi sebenarnya payah. Bukan sekadar kerja menjaga rumah, akan tetapi tugasnya membangun ummah. Fungsi rumah, bagi anak-anak sebagai madrasah, bagi si suami sebagai jannah. Tak ada lagi masa bergembira. Kalau dulu masa muda remaja, masih sempat bercanda bergurau senda. Namun kini mod serius mahu tak mahu kena menjelma. Seperti yang dikata sejak awal mula, perkahwinan belum tentu menjanjikan bahagia. Kerana bahagia itu satu perkara yang terlalu sukar dicerita. Ada orang yang derita dalam bahagianya. Ada juga yang bahagia dalam deritanya. Bergantung kepada apa definisi kebahagiaanya.
Dua kegembiraan untuk orang yang ‘berpuasa’ iaitu saatnya ‘berbuka’ dan saatnya bertemu Allah Taala. Dan mereka memilih untuk men’derita’ seketika hingga dijanjikan kebahagiaan di sana. Dan inilah perkahwinan yang dipilih atas jalan dakwah. Moga diterima Allah.


Islam Agamaku, Malaysia Negaraku, I Love U.

5 comments:

Anonymous said... [Reply]

"Kadangkala perkahwinan tak semestinya menjanjikan bahagia. Kerana bahagia itu satu perkara yang terlalu sukar dicerita. Ada orang yang derita dalam bahagianya. Ada juga yang bahagia dalam deritanya. Apa sebenarnya erti kebahagiaan? Adakah sentiasa gembira dengan kehidupan, walaupun yang dibuat itu adalah larangan?"

~fam~ said... [Reply]

lama tak update bro.

Egg Head said... [Reply]

terus dan terus menanti.....#menarik dan #mantap

Bijen M. said... [Reply]

@~fam~
Susah nak update.
Heh!

Bijen M. said... [Reply]

@Egg Head
Jangan menanti yang tak pasti.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...