14.6.10

Ada hamba Allah tanya apa gua dapat dekat Masjid Sri Petaling tempoh hari?

Gua cuma nak cakap dekat sini yang gua nampak ribuan umat lelaki Islam yang tekun mengamalkan sunnah Nabi SAW. Solat Subuhnya berjemaah ibarat Solat Jumaat sehingga melimpah ke luar masjid. Begitu juga solat fardhu yang lain, berjemaah dan di awal waktu. 24 jam suasana masjid hidup dengan ibadah. Celik-celik mata saja sudah nampak lembaga-lembaga putih terpacak khusyuk bertahajud bermunajat memohon  ampun dan hidayah Allah SWT untuk seluruh umat sekelian alam. Berhimpunnya mereka tanpa  mengira negara, bangsa, darjat serta fahaman politik. Daripada pemimpin, CEO, profesor, alim ulamak, artis, pelajar, petani sehinggalah yang pekak dan bisu. Semuanya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah. Makannya sedulang, mandinya sekolam, jemaahnya sebaris. Khatibnya berkhutbah, bukannya membaca teks khutbah. Kanak-kanak sekecil 7 tahun berserban dan berjubah bangun bersolat sunat dengan penuh khusyuk. MasyaAllah.

Satu refleksi; bagaimana solat-solat fardhu di surau dan masjid tempat kita terutama Subuh, Zohor dan Asar? Berapa kerat jemaah yang hadir mengimarahkan masjid dan surau jika dibandingkan dengan mereka berdemonstrasi di jalanan membantah judi, isu kalimah Allah, membakar bendera Israel dan memaki-maki hamun orang lain.

Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi perintahMu, bersatu memikul beban dakwahMu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu, maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya. Satukanlah hati kami dalam satu jemaah, satu umat. Bukannya berpecah berparti-parti.

Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini di jalanNya yang sebenar, penuhkan piala hati ini dengan cahaya rabbaniMu yang tidak kunjung malap.

Lapangkan hati-hati ini dengan limpah iman, keyakinan dan keindahan tawakal kepadaMu. Hidup suburkan hati-hati ini dengan makrifat tentangMu. Jika engkau mentakdirkan mati, maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agamaMu. Amin Ya Rabb.

1Umat; Akidah Didahulukan, Syariat Dimartabatkan.
Islam Agamaku, Malaysia Negaraku, I Love U.

comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...