11.7.16

Tolong Nu'man Kawan-Kawan!

Aisyah RHA bertanya kepada Nabi SAW: "Ya Rasulullah! Apakah ada jihad bagi seorang wanita?" Baginda menjawab: "Ya, ada jihad bagi mereka, namun tidak ada perang padanya; iaitu haji dan umrah". (Ibnu Majah No. 2901)
Assalamualaikum WBT dan salam Syawal. Rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan ‘taqabbalallahu minna waminkum’ kepada semua para graduan madrasah Ramadhan yang baru saja berakhir. Mudah-mudahan segala amal ketaatan yang dilatih selama sebulan ini dapat berkekalan sekurang-kurangnya untuk tempoh 11 bulan yang akan datang sementara menanti Ramadhan baru yang bakal menjelma, insyaAllah.

Seperti yang kita sedia maklum, selain dikaitkan dengan puasa enam, bulan Syawal juga merupakan salah satu daripada bulan-bulan haji. Rata-rata para bakal haji sudah pun berkira-kira untuk menyelesaikan segala persiapan terakhir sebelum berangkat ke tanah suci. Maka dengan itu anggaplah entri kali ini juga merupakan salah satu persiapan terakhir haji yang sedang disediakan.

Actually entri ini adalah kesinambungan post status saya di FB Nota Siku sebelum ini. Mungkin ramai yang tak clear tentang tawaran yang saya iklankan itu kerana saya tak cakap secara terang dan nyata melainkan jika ada orang yang bertanya kepada saya personally. Memandangkan iklan tersebut masih belum membuahkan hasil yang memberangsangkan, maka ini merupakan ikhtiar terakhir saya insyaAllah. Saya masih lagi positif dan berharap yang terbaik dari Allah SWT itu akan tetap datang juga.

Saya sedar agak susah untuk mendapatkan calon terbaik yang exactly mengikut cita rasa namun tak ada salahnya berharap. Sedangkan Allah SWT ajar para kekasihNya untuk minta yang terbaik. Sulaiman AS pernah meminta kerajaan yang tidak ada tandingan sebelum dan selepas, Allah SWT kabulkan. Kita juga diajar untuk mendambakan syurga Firdaus iaitu syurga yang tertinggi walaupun kita sedar siapa diri kita yang sebenar. Malah, Iblis laknatullah pun pernah membuat permintaan kepada Allah SWT dan permintaannya juga tidak ditolak. Maka saya berharap agar Allah SWT menyampaikan harapan saya ini kepada orang-orang yang sepatutnya dan seterusnya mengetuk pintu hati mereka.




Ini anak saya seorang. Namanya Nu’man. Usia beliau hampir 3 tahun. Dalam masa sebulan dua ini, Nu’man bakal melalui perkara besar dalam hidupnya iaitu:
  1. Nu’man bakal menjadi seorang abang, insyaAllah pada akhir bulan Ogos nanti.
  2. Dalam masa yang sama Nu’man juga bakal berpisah sekali lagi dengan bapanya untuk tempoh yang lama. Kali ini bapanya insyaAllah akan bepergian mengerjakan haji yang mungkin tarikh penerbangannya dijadualkan pada akhir bulan Ogos nanti juga.
Harapnya anda boleh tangkap situasi yang bakal dilalui Nu’man dalam masa kurang dua bulan dari sekarang. Oleh itu Nu’man sangat-sangat memerlukan kakak-kakak atau makcik-makcik yang penyayang di luar sana untuk menemani Nu’man di sepanjang ketiadaan bapanya di sisi nanti. Tsk! Kalau dulu bila Nu’man dilahirkan, ada bapanya seorang yang membantu menguruskan Nu’man dan umminya sepanjang tempoh berpantang. Kali ini bapanya tak dapat bersama di sisi bagi mengharungi detik ini.

Nak meneman Nu’man tak adalah sesukar yang disangka. InsyaAllah, peneman Nu’man akan tinggal bersama Nu’man dan umminya (serta bakal adik Nu’man yang akan dilahirkan) sepanjang tempoh berkenaan. Di bawah ini saya sertakan senarai tugasnya.

Aktiviti Harian

Amalan Malam: Nu’man suka di rumahnya dipenuhi dengan amal ibadah. Barulah rumah jadi tenteram. Nu’man mahu rumahnya hidup dengan amalan malam. Paling kurang dikerjakan solat sunat 2 rakaat beserta witir. Elok juga amalan malam tersebut disudahi dengan bacaan Al Quran walau sekadar semuka sementara menanti Subuh menjelma.

Zikir Pagi & Tilawah: Setelah mengerjakan solat Subuh di awal waktu, Nu’man suka jika zikir pagi menjadi wirid harian. Bacaan Ma’thurat antara pilihan yang terbaik selain zikir-zikir pagi yang lain. Untuk mengelakkan tidur selepas Subuh, Nu’man suka mendengar bacaan ayat suci Al Quran disambung semuka demi semuka di sepanjang hari sehingga 1 juzu’ berjaya dihabiskan setiap hari. Paling tidak 1 hizb atau 1 muka pun tak mengapa. Janji ada alunan bacaan Al Quran setiap hari kerana Nu’man tak mahu rumahnya menjadi sunyi sepi umpama kuburan. Boleh juga diselang-seli dengan amalan surah-surah pilihan seperti Yassin, Waqiah, Mulk, Sajdah, Kahfi dan sebagainya.

Persiapan & Menghantar ke Sekolah: Tugas sampingan pula adalah menyiapkan Nu’man untuk ke sekolah pada setiap pagi. Bila dah siap, Nu’man perlu ke sekolah yang terletak tak berapa jauh dari rumah dan dihantar menggunakan kereta yang ada.

Dhuha: Selesai menghantar Nu’man, bolehlah pulang berehat di rumah sambil memenuhi masa dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Untuk tidak digolongkan sebagai hamba Allah yang lalai, solat Dhuha boleh dikerjakan sekurang-kurangnya 2 rakaat.

Melayan Tetamu: Selain ibadat khusus, ada ibadat umum yang mungkin direzekikan Allah SWT. Antaranya mungkin ada jiran tetangga dan kawan-kawan ummi yang akan datang ziarah. Maklumlah ada newborn. So melayani tetamu pun merupakan salah satu ibadat yang disukai Allah SWT sehingga Allah SWT memuji salah seorang sahabat Nabi SAW di dalam Al Quran kerana kesungguhannya melayani tetamu.

Menyediakan Makanan: Sementara menunggu Nu’man nak balik sekolah, mungkin boleh disediakan sedikit makanan yang simple-pimple untuk mengisi perut di hari berkenaan. Boleh jadi nasi putih lauk sup kosong atau nasi putih dengan ikan bakar atau spaghetti atau apa-apa masakan yang mudah, ringkas dan bersesuaian untuk disediakan yang mana tidaklah memerlukan sangat kepakaran tinggi dalam bidang memasak pun.

Ambil Nu’man Balik Sekolah & Qailulah: Bila dah tengahari, bolehlah jemput Nu’man di sekolah. Biasanya bila dah balik sekolah, Nu’man akan kepenatan dan mengantuk lalu terus tertidur. Boleh berehat berqailulah bersama-sama Nu’man bagi mencari kekuatan untuk menghidupkan amalan di malam hari nanti. Sambil-sambil tu tak dilupa dibantu juga keperluan ummi Nu’man jika ada.

Melayan Nu’man: Bila masing-masing dah terjaga, inilah tugas pentingnya iaitu untuk mengalih perhatian Nu’man dari tertumpu kepada umminya. Kerana umminya perlu rehat yang secukupnya untuk sembuh setelah proses kelahiran. Mungkin petang itu boleh diisi dengan pelbagai program yang bermanfaat untuk Nu’man seperti beriadah sambil zikir-zikir ma’thur petang hari masih terjaga.

Belajar: Pada malam hari pula memandangkan bapa Nu’man dah tak ada, Nu’man dah tak boleh ke masjid lagi. Jadi Nu’man perlu belajar agama di rumah. Nu’man suka belajar solat, mengaji dan membaca. Ruang masa antara Maghrib dan Isya’ tu bolehlah dipenuhi bersama.

Majlis Taklim: Kemudian sebelum masuk tidur, Nu’man suka mendengar bacaan hadith-hadith Nabi SAW dan kisah-kisah para sahabat RHUM. Nu’man suka bila bacaan taklim dihidupkan di rumahnya. Barulah nur keberkatan tu sentiasa meliputi rumahnya berserta para ahlinya. Rumahnya pun jadi seumpama taman-taman syurga.

Begitulah hari-hari seterusnya dilalui dengan penuh bergaya.

Aktiviti Mingguan

Cari Barang Basah: Manakala aktiviti mingguan pula tak ada apa sangat melainkan mencari barang-barang untuk dimasak untuk stok seminggu. Jika rezeki murah, insyaAllah Allah akan hantar segala barang-barang keperluan di depan pintu rumah. Tapi jika rezeki kurang sikit, terpaksalah pergi kutip rezeki-rezeki tersebut di kedai atau pasar raya berhampiran.

Miscellaneous: Selain itu, hanya perlu stand by saja jika ummi Nu’man perlu ke mana-mana seperti ke klinik atau hospital untuk mengambil suntikan vaksin, heh!

Itu sajalah harapan Nu’man. Kalau tak pandai nak urus Nu’man sangat pun tak apa. Boleh belajar slow-slow. Yang penting ada kemahuan, sedikit effort dan sifat tanggungjawab saja. Tak susah mana pun kan?

So akhir kata, Nu’man harap sangat-sangat ada orang yang sudi teman Nu’man dan menghidupkan amalan di rumah Nu’man. Masa dah tak lama tinggal kurang dari dua bulan saja lagi. Mudah-mudahan Allah SWT permudahkan, mengetuk dan membuka pintu hati orang yang sepatutnya. Tolong Nu’man ya!
“Sesiapa yang menyediakan kelengkapan safar untuk orang yang pergi haji dan orang yang keluar ke jalan Allah SWT ataupun mengambil berat tentang keluarganya ataupun menyediakan hidangan berbuka untuk orang yang berpuasa akan mendapat ganjaran yang sama dengan orang yang pergi haji atau keluar ke jalan Allah SWT atau berpuasa dan pahala itu tidak berkurangan sedikitpun.” (Baihaqi)
Bapa Nu’man janji akan berdoa khusus untuk insan yang terpilih tersebut ketika berada di sana insyaAllah. Untuk maklumat lanjut, boleh terus hubungi bapa si Nu'man di 0195221320.

Jazakumullah khair!

4.7.16

Pertandingan Panjat Gunung

Bila ditanya kepada orang yang suka panjat gunung, kenapa mereka memanjat? Kebanyakannya jawab sebab putus cinta. Oke! Ada satu pertandingan. Pertandingan memanjat gunung namanya. Ganjaran hadiah yang lumayan disediakan kepada para pemenang.

Ada 3 jenis peserta yang menyertai pertandingan tersebut:
  1. Peserta yang bersungguh-sungguh nak rebut ganjaran hadiah.
  2. Peserta yang hari pertandingan baru nak sediakan kelengkapan.
  3. Peserta yang tak tahu apa-apa.
Peserta pertama yang bersungguh-sungguh, dia akan mempersiapkan diri menghadapi pertandingan. Sebulan sebelum pertandingan dia sudah giat berlatih.

Peserta kedua jenis sedar tak sedar. Bila hari pertandingan dah tiba barulah kalut nak cari kelengkapan. Persediaan pun tak seberapa. Tapi dia tahu ada ganjaran hadiah lumayan yang bakal dimenangi.

Peserta ketiga yang tak tahu apa-apa, orang suruh masuk dia pun masuk. Persiapan apa pun tak buat. Jenis tak ada motivasi.

Tuan-puan boleh bayangkan apa yang akan berlaku pada hari pertandingan? Rasa-rasa boleh tahu siapa yang akan menang?

InsyaAllah dengan keazaman, semangat dan persediaan yang jitu, tentu sekali peserta pertama berpeluang cerah untuk memenangi pertandingan tersebut. Semua orang boleh bersetuju.



Ramadhan juga umpama pertandingan yang pesertanya terdiri dari 3 jenis:
  1. Peserta yang istiqamah, tapi di bulan Ramadhan berganda-ganda lagi amalannya kerana merebut ganjaran pahala.
  2. Peserta si penyembah Ramadhan. Menyambut Ramadhan, tapi sekadar menyambutnya saja. Datang ke masjid untuk bertarawih, tetapi solat sunat selepas Isya’ tak dikerjakannya sebab datang untuk bertarawih saja. Bangun bersahur, tetapi Subuh berjemaah tak dilakukan juga. Berbuka puasa, namun Maghrib kadang terlepas juga.
  3. Peserta yang tak tahu apa-apa. Datang bulan puasa, dia pun berpuasa sebab orang lain berpuasa. Lalu 1 Syawal dia pun turut menyambut hari raya kerana orang lain pun turut beraya. Yang dia dapat cuma lapar dan dahaga.
Ramadhan bakal meninggalkan kita, malam raya bakal menjelma. Mujahadah madrasah Ramadhan selama 30 hari selama ini akan terbayar juga. Bangunlah di malam anugerah lailatul jaizah untuk menerima ijazah taqwa daripadaNya. Jangan terleka dengan buaian raya. Mudah-mudahan perjuangan selama ini terus bertahan selama-lamanya.

Raya hari kemenangan untuk orang yang berjaya. Yang menerima sijil taqwa di malam sebelumnya. Siang hari dia pakai baju yang paling cantik yang dia ada. Tak semestinya baju baru baju raya.

Taqabbalallahu minna waminkum.

13.6.16

7 Perkara Tak Patut Tinggal Di Bulan Ramadhan

Assalamualaikum dan juga Ramadhan Kareem! Teringat tahun lepas, ada terbaca satu artikel seorang manusia yang alergik betul dengan fenomena arabisasi yang berlaku dalam kalangan Bani Melayu mutakhir kini. Contohnya menyambut Ramadhan dengan ucapan Ramadhan Kareem lalu ifthar dengan buah tamar sambil pakai serban dan jubah. Mengapa tidak diucap selamat menyambut bulan puasa saja lalu berbuka puasa dengan kuih tepung pelita sambil mengenakan baju Melayu dan bersongkok tinggi? Mengapa tidak?

Baik! Orang Arab nampak signifikan perkataan 'Kareem' ini dengan perkataan karamah yang bermaksud anggur. So apa kaitan anggur dengan Ramadhan? Tak kena langsung. Kalau Ramadhan dengan kurma tu logiklah juga sebab orang Terengganu panggil kurma sebagai 'ke-re-me'. Orite, anggur di sini nak menggambarkan tempoh bulan Ramadhan yang hanya sekejap namun kelebihan dan keberkatannya berganda-ganda. Seumpama tangkai anggur yang halus saja tapi dapat memegang berpuluh-puluh biji buah anggur. Maka kalau tak nak di-arabisasi-kan, lepas ni boleh panggil Ramadhan Pinang (sebab sifatnya lebih kurang buah anggur kan?).

Oke kita teruskan. Sini gua nak list-kan 7 perkara yang tak patut ditinggalkan oleh laymen macam kita-kita ni di bulan Ramadhan yang pinang ini, eh? Ni kira tahap laymen-lah dah ni yang mana kalau tinggal juga serupa Ramadhan kali ini dah tak pinang mana dah. By the way sebab apa gua kata tak patut tinggal? Sebabnya kita pasti dan pasti akan menempuhi situasi ini. Tinggal lagi ada kemahuan atau tak je nak buat.

1. Jangan tinggal Suhoor
Suhoor atau sahur adalah satu lagi perkataan Arab. Kalau nak di-Melayusasi-kan jadilah makan sebelum fajar (ada bau-bau Arab juga). Semalas manapun kita, bersahurlah walau dengan seteguk air kerana dalam sahur itu ada keberkatan. Allah SWT serta para malaikat-Nya juga berselawat kepada orang yang bersahur. Selain memberi tenaga, kita turut mendapat pahala sunnah. Juga waktu sahur adalah antara waktu mustajab doa. Yang penting, sunnahnya diakhirkan waktu sahur itu. Kalau makan tengah malam sebab malas nak bangun esok, dok jadi.

2. Jangan tinggal 2 rakaat sebelum Subuh
Bila dah bersahur, tak patut betul kalau kembali semula ke atas katil dan menyambung mimpi. Ada satu amalan yang Nabi SAW sangat memberati (sangat menjaga) iaitu solat sunat 2 rakaat sebelum Subuh. Kerana sesungguhnya 2 rakaat itu lebih baik daripada dunia dan seisinya dan tidaklah 2 rakaat solat sunat fajar itu lebih Nabi SAW cintai daripada dunia seisinya. Orang yang paling kaya adalah orang yang dapat jaga 2 rakaat ini kerana kekayaannya melebihi dunia dan seisinya.

3. Jangan tinggal Subuh dan Isyak berjemaah
Dalam satu hadith, Nabi SAW menceritakan kelebihan mereka yang solat Isyak secara berjemaah seumpama mengerjakan ibadah separuh daripada malam dan mereka yang mengerjakan solat Subuh secara berjamaah seumpama dia beribadat sepanjang-panjang malam. Untuk laymen seperti kita yang selalunya lagi setengah jam nak Subuh baru nak bangun sepatutnya rebutlah ganjaran ini. Malah hendaklah beristiqamah di sepanjang bulan Ramadhan ini kerana ada satu malam di bulan ini yang menjadi rahsia iaitu malam al-Qadar. Kalau dalam bahasa pelaburan, teknik ini dipanggil Dollar Averaging Cost iaitu istiqamah buat pelaburan sepanjang masa tak kira harga murah atau tinggi. Untung badan kalau kita dapat solat Isyak dan Subuh di malam yang ditentukan Lailatul Qadar. Dan mereka yang tahu keutamaan solat Isyak dan Subuh ini nescaya akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak. Susah sebenarnya nak tinggal Isyak dan Subuh berjemaah melainkan kalau tahap pemalas nak mampus. Isyak sebab kita akan bertarawih selepasnya manakala Subuh tu pula dah alang-alang bangun Sahur. Jadi jangan tinggal!

4. Jangan tinggal zikir & tilawah
Bulan Ramadhan sinonim dengan peristiwa Nuzul (penurunan) Al Quran. Di bulan ini, amal ibadat dilipatgandakan pahalanya. Maka alangkah rugi jika kita tidak rebut ruang dan peluang yang ada untuk memperbanyakkan zikir dan tilawah. Hanya perlukan sedikit effort untuk tekan nafsu daripada jari mengesot-ngesot di atas skrin handphone untuk scroll timeline di Facebook dan WhatsApp baca kisah viral kepada meluangkan sedikit masa untuk selak Al Quran dalam phone tu. Kalau dalam dunia nyata, orang panggil Al Quran berhabuk. Kalau dalam phone pula, jangan sampai app cleaner suggest untuk uninstall 'rarely used application' in order to save memory space. Ohmai! 1 huruf diganda 10 kebajikan waktu bulan-bulan biasa. Bulan ni ada promo diganda berganda-ganda. Paling ringan, basahkanlah lidah dengan zikrullah. Antara perkara yang terbaik untuk diucapkan di bulan ini adalah:
  • Lailahaillallah
  • Istighfar memohon ampun
  • Doa dimasukkan ke dalam syurga
  • Doa diselamatkan dari api neraka

5. Jangan tinggal bersedekah
Antara kelebihan pada bulan ini adalah syaitan-syaitan dirantai. Tugas syaitan antaranya menghasut manusia agar jangan bersedekah kerana takutkan kefakiran. Dengan ketiadaan syaitan, kita dapat lihat betapa pemurahnya umat manusia pada bulan ini. Amatlah pemurah sampai kadang-kadang jadi membazir pun ada. Jangan kita ganti jadi saudara syaitan pula di bulan ini. Nabi SAW menganjurkan agar mendinding diri dari neraka dengan amalan sedekah walaupun sebelah buah tamar. Ya! Walaupun SEBELAH buah tamar. Apa salahnya bila berbelanja di bazar Ramadhan tu, beli lebih sedikit untuk dijamu kepada orang yang berbuka di masjid-masjid. Ataupun diberi kepada orang susah yang meminta di pinggir bazar itu. Kalau tak susah, mereka tak meminta. Orang yang memberi makan kepada orang lain untuk berbuka kan dapat pahala orang yang berpuasa tanpa berkurang walaupun sedikit pahala. Puasa kita belum tentu lagi full mark yer dok?

6. Jangan tinggal berbuka
Ini paling rare orang nak tinggal. Kalau dulu Maghrib tunggu kita, sekarang kita yang tunggu Maghrib. Apapun kalau boleh tunggu seawal mungkin. Banyakkan berdoa sementara menunggu berbuka kerana waktu ini adalah waktu mustajab berdoa. Kesilapan kita, main handphone sementara nak tunggu berbuka. Bila dah azan baru nak menghadap makanan dan berasa cukup dengan sekadar membaca doa berbuka. Segerakan berbuka dan berbuka dengan benda yang manis-manis. Misalnya anak isteri, eh?

7. Jangan tinggal Solat Tarawih & Witir
Akhir sekali jangan tinggal Solat Tarawih dan Witir. Hal ini kerana Solat Tarawih hanya ada di bulan Ramadhan. Tak boleh dah nak rewind balik. Sekarang hari kelapan kesembilan dah tak boleh nak patah balik ke hari pertama. Kalau dah terlepas amatlah rugi. Selalunya awal-awal tak ada masalah. Tapi ujiannya bila di malam-malam terakhir. Waktu itulah sibuk nak ber-shopping sini-sana. Kalau tak pun, sudah sibuk terperangkap dalam kesesakan jalan raya pasal semua pakat nak balik kampung sehingga terabai solat Tarawih secara berjemaah. Satu kerugian yang besar. Witir pula salah satu solat yang Nabi SAW tak pernah tinggal. Dah alang-alang bertarawih, teruskanlah sampai Witir tu. Nak sambung Tarawih kat rumah ke apa ke itu lain punya cerita. Takut dah balik rumah tak sempat nak sambung terus pejam sampai ke sahur lalu terus Subuh. Rugi ya amat!

Oke! Rasanya setakat itu saja pesanan buat diri sendiri. Harap-harap dapat kita semua dapat full mark 30/30-lah sampai ke habis Ramadhan. Ameen.

...

P/s: Gua masih lagi mencari gadis yang berminat nak menjalani latihan praktikal pada bulan 8-9 nanti. Jika berminat, boleh pm tepi. Maklumat lanjut, sila rujuk FB Nota Siku.

Sekian, Salam Ramadhan dan selamat bershoum.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...